Thursday, February 27, 2014

Ayah yang saya sayangi

Setiap kali perbualan melalui telefon saya dengan emak mesti ada dialog sebegini:
"Mok sihat?"
"Sihat.. Alhamdulillah...."
"ayoh sihat dok?"
"Alhamdulillah sihat belaka..."
"Alhamdulillah.." sambut saya pula
Perbualan beralih ke topik lain pula.
Jika ada yang tidak sihat, perbualan akan jadi begini;
"Mok sihat?"
"Sihat.. Alhamdulillah...."
"ayoh sihat dok?"
"Alhamdulillah sihat belaka..." kemudian, setelah lama berjeda mak akan menyambung
"Ayoh/mok demang kat dua hari doh.." [Ayah/emak demam masuk dua hari]

Kadang kadang saya tergelak, bukan sebab suka hati ayah/emak demam, tapi ayat mak mesti alhamdulilah kemudian baru beritahu ada yang sakit.

Baru baru ini ayah saya demam, empat hari. Ayah saya tidak suka ke klinik/hospital. Tapi kerana demam yang lama (ditambah sekarang musim denggi) ayah pergi juga ke klinik. Oleh kerana pada waktu itu klinik ramai pesakit yang menunggu giliran, ayah saya balik semula ke rumah. Tidak lama anak rakan sekerja ayah dulu datang hantar ubat yang dibeli di klinik swasta.
OH.. Sedihnya.. apabila ada orang lain yang mengambil berat pasal ayah. Ke mana anak anak ayah yang ramai??

Sebetulnya kami tidak tahu ayah demam, sementelah pula kami semua tidak tinggal di rumah bersama emak ayah. Apabila abang atau kakak datang menjengah, ayah kelihatan sihat.. Begitulah ayah, tidak pernah menunjukkan rasa letih dan sakit jika masih boleh bertahan. Walaubagaimanapun perasaan ralat kerana orang lain mendahului tindakan terhadap ayah amat berbekas di hati saya.
Petang itu abang bawa ayah ke klinik swasta, dan ayah disyaki mempunyai batu karang.
Ayah sekarang cepat penat dan tidak boleh berdiri atau duduk terlalu lama.

Rasa belas apabila mendengar kakak becerita pasal ayah yang sakit. Saya tahu ayah saya seorang yang kuat dan cekal. Ayah saya adalah survivor dari hidup sewaktu kecilnya yang getir dan  perjalanan panjang 72 tahun membesarkan kami 13 beradik. Malah tidak keterlaluan jika saya kata ayah saya seorang yang sangat tabah dan sabar. Ayah jarang menunjukkan rasa sakit dan lemah kecuali dalam keadaan terlalu sakit.

Sebagaimana ayah tidak pandai menunjukkan rasa sakit, ayah juga amat kekok untuk menunjukkan rasa sayang pada kami anak anak yang sudah besar ini. Jika ayah boleh bergelak ketawa bergeletek dengan cucu-cucunya, mengagah sikecil dengan janggut ayah yang sudah memutih, ayah amat kekok jika saya dan anak anak yang lain memeluknya saat kami mahu berpamitan. Namun kami tahu melalui setiap tindakan ayah, mendahului keperluan hidup dan pendidikan kami sedari kami kecil, ayah amat sayangkan kami lebih dari perlakuan kami yang memeluknya. Lebih dari nyawanya sendiri!
 
Inilah kali pertama saya menulis pasal ayah, bukan kerana ayah tidak penting, tetapi kerana tiada perkataan yang benar benar sesuai yang dapat menggungkapkan setiap pengorbanan dan rasa kasih ayah terhadap kami sekeluarga..

Raya 2010

Ya Allah, dengan kasih dan sayangMu, Engkau ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku ketika kecil. Bebaskan mereka dari siksa sakaratulmaut, siksa kubur, siksa di padang mahsyar dan siksa neraka. Masukkanlah mereka ke dalam syurgaMu... Aamiinn...

Tuesday, February 11, 2014

Merokok di dalam kereta

Panas matahari pukul 4.30 petang menembusi cermin tingkap kereta. Jemari tangan bergerak mengikut rentak lagu yang terpsang di radio. Sesekali mata memandang angka merah pada skrin lampu isyarat. 123.. hm.. kenderaan pelbagai jenama berderet beratur menunggu lampu hijau.
Sekitar lima meter dari kereta, di lorong bersebelahan, pemandu membuka cermin tingkap dan menjulurkan tangan dari sebuah kereta hitam. Terkepit sebatang rokok di antara jari telunjuk dan jari tengahnya. Sekejap sekejap tangannya ditarik masuk ke dalam kereta.

Terlintas di fikiran, "Tiadakah belas kasihan si perokok terhadap semua penumpang keretanya?" Terkepung dalam asap rokok... fuhhh... kesan yang dialami lebih dahsyat dari perokok tadi. Seumpama dijeruk dengan asap!

Lampu bertukar hijau, kenderaan mula bergerak. Ketika kereta melintasi kereta hitam tersebut, sempat dijeling. Kerusi bahagian belakang dipenuhi oleh dua orang kanak kanak dan seorang dewasa. Sempat juga dijeling ke arah pemandunya yang sedang tersenyum.

Hai..murah dan manis senyuman abang... tapi kalau tidak merokok mesti bertambah manis.. hm..