Monday, October 17, 2011

Kerana Kita Adalah Hamba...

Makanya ingatlah, pada setiap sesuatu yang berlaku itu adalah ujian dariNya. Sedih, walang, gembira, ceria dan semua reaksi2 diantaranya. Tidak semua ujian itu datang dalam bentuk kesedihan kerana Dia bisa menurunkan dalam bentuk kejayaan dan kegembiraan. Tidak semua ujian itu datang dalam bentuk kemiskinan dan kefakiran kerana Dia bisa menguji dalam lambakan harta mewah dan pangkat. Tidak semua ujian itu datang dalam bentuk kesakitan dan kepayahan, kerana Dia bisa mendatangkan dalam bentuk kesihatan dan kesenangan.Tidak semua ujian itu datang dikala kita sudah bersedia sepertimana kita bersedia menanti banjir saat hujan mencurah tidak henti beberapa hari, kerana demi KekuasaanNya, Dia bisa menerjahkan ujian tatkala kita tidak bersedia apa apa.

Dan kerana kita ini hanyalah hambaNya, seringkali merasa sangat lemah dan tewas bila diuji musibah. Dan kerana kita ini hanyalah hambaNya, seringkali lupa dan leka saat diberi ujian nikmat dalam hidup. Dan kerana kita juga hanyalah hambaNya yang lemah, kita keliru kerana menyangka nikmat itu adalah ganjaran hakiki kerana tabah mengharungi saat getir tika diuji. Kerana kita adalah hambaNya ,sedang Dia Yang Maha Kuat lagi Maha Berkuasa.

Maka ingatlah juga, semua yang terjadi itu sentiasa ada hikmah dan rahmahnya. SyafaatNya ada di mana mana, ujian mengajar kepentingan pengorbanan, ketinggian semangat, kemanisan ketabahan, kehebatan harapan, keluhuran cinta dan kasih sayang...bertabahlah!!


Daripada Abu Said al-Khudri r.a dan Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W bersabda yg bermaksud;

"Tidak menimpa seorang mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan dan kesedihan malahan kedukacitaan melainkan dihapuskan sebahagian dosa dosanya"-Riwayat Al Bukhari dan Muslim


Saat itu, hanya satu yang menjadi benteng pertahanan kita, memaku teguh keyakinan kita, menjadi pasak dalam nadi hidup kita. Ya, itulah doa. Senjata ampuh membina keyakinan saat semua kepunyaan dan kesayangan retak menjadi serpihan serpihan halus dan hilang dari pandangan...sabarlah...kerana Dia Maha Dekat. Kerana Dia Maha Mendengar..


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku (katakanlah) sesungguhnya Aku dekat. Aku sahut doa orang yang berdoa, tatkala dia berdoa kepadaKu, justeru sahutlah seruanKu" - Al-Baqarah: 186


berdoalah untuk yang terbaik...amin..

No comments:

Post a Comment