Rabu 1996
Dia meraba-raba poket baju kurung sekolahnya. Serta merta mukanya berubah. Segera dia menunduk memunggah segala isi meja dengan gopoh. Kemudian, mendadak dia bangkit, kerusi kayu yang didudukinya tadi tertujah ke belakang.
"Eh, demo ni bakpo?" Kawan sebelah mejanya terganggu dengan tingkahnya yang kasar.
"Wehh.. aku rasa beg pitih aku ilang ar...", sahutnya dengan nada cemas.
"Herk... ghano buleh ile..?"
Dia menggaru -garu kepala yang dilitupi tudung putih. Otaknya ligat memusing semula aktivitinya hari itu.
"Aku rasa aku tau kat mana beg pitih tuh", pantas dia meluru ke muka pintu kelas. Terkocoh kocoh kawannya berlari mengekori.
Koperasi.
Dia ingat kali terakhir dia memegang beg duit itu adalah ketika dia sedang membeli sebungkus kacang kuda pada waktu rehat. Ketika itu pelajar perempuan tingkatan satu sedang berpusu-pusu memenuhi ruang koperasi, dia pula melawan arus untuk keluar dari koperasi.
"Ada napok dok beg duit kaler koko?" Pantas dia bertanya kepada AJK koperasi yang sedang bertugas.
"Beg duit saya ilang, saya rasa last skali saya pegang mase beli kacang tadi", dia bercerita tanpa ditanya.
"Dok napok pulok...sekarang ni menengah atah tengoh rehat" jawab AJK koperasi itu. Selang masa waktu rehat menengah bawah dan menengah atas adalah 35 minit.
Dia menyandar di dinding koperasi, kawannya memandang dengan simpati.
"Jong kito gi jupo cikgu disiplin", cadang kawannya. Dia hanya mengikut. Selepas itu mereka pergi berjumpa dengan guru kelas pula. Cerita sama diulang.
Fikir. Fikir. Fikir!
Dia mengheret tangan kawannya memasuki kelas tingkatan satu. Setiap kelas diulang ayat yang sama;
"Saya dari tingkatan tiga. Waktu rehat tadi saya tertinggal beg duit kaler koko di koperasi. Ada sapa sapa yang napok beg duit saya dok?"
Diam.
"Saya dok kisoh kalu awok nok ambik duit, tapi pulangkan kad pengenalan saya, sebab saya nak ambik exam PMR tahun ni".
Dari kelas pertama hingga ke enam. Tiada respon.
Tapi dia yakin, dia ternampak gerak mata di kelas ke tiga dia masuki tadi. Dia pasti. Tapi dia tiada bukti. Harapannya agar budak perempuan itu mengambalikan kad pengenalannya dalam apa cara sekalipun.
Walaupun duit yang ada di dalam beg duit itu adalah duit belanjanya untuk sebulan dan duit yuran asrama, Tapi yang lebih penting sekarang adalah kad pengenalannya. Terbayang kesusahan yang bakal dialami jika kad pengenalannya hilang menjelang peperiksaan PMR nanti; kena buat laporan polis, dapatkan kaki kad pengenalan, belum lagi termasuk bebelan ibunya apabila pulang ke kampung hujung bulan nanti... haishhh...!!
Khamis.
Jumaat.
Sabtu.
Ahad 1996
Ketika beratur untuk perhimpunan mingguan, dia memerhatikan seorang pengawas melemparkan sesuatu kepada rakannya. Hatinya berkocak.
Waktu kedua sebelum rehat, seorang pengawas lelaki menghulurkan beg duit warna koko kepadanya.
"Alhamdulillah...Awok jupe kat mane?"
"Bowoh meja tempat mikrofon". Meja itu berada di koridor berhampiran pintu pejabat sekolah.
"Terima kasih."
Beg duit itu diperiksa. Duit hanya berkurang sebanyak RM8, dan sekeping duit satu ringgit edisi lama yang dia simpan sebagai koleksi. Kad pengenalan dan barang barang lain tidak terusik.
Dia dapat rasa pencuri itu mencuri kerana ada kesempatan (mungkin juga terdesak), bukan kerana tabiat. Ini kerana dia hanya menggunakan RM8 daripada RM50 yang ada di dalam beg duit itu. Mungkin pencuri itu tersedar tindakannya adalah salah (atau berasa kasihan) lalu dia memulangkan beg duit itu dengan meletakkan di kawasan yang paling selamat (berhampiran pintu pejabat yang kebiasaannya hanya dilalui oleh para guru dan pengawas) dan mudah dijumpai (di bawah meja mikrofon, yang pasti digunakan oleh pengawas setiap hari).
Apa pun dia berdoa semoga itulah kali pertama dan kali terakhir pencuri itu mencuri.
Dia juga berdoa semoga itulah kali pertama dan terakhir beg duitnya hilang....
No comments:
Post a Comment