Dari tingkat bawah kedengaran nyaring suara cikgu menyebut satu perkataan demi satu perkataan membentuk satu ayat.. Setiap sebutan perkataan diikuti dengan suara ramai anak anak kecil darjah dua mungkin tiga.
Begitu proses membahasakan anak anak sekarang. Terfikir dibenak, adakah ajaran itu diulang ulang sesampai di rumah petang nanti, atau hanya bertapa di dalam beg yang tersadai lesu di tepi dinding menunggu untuk dikutip keesokan pagi pula.
Teringat ketika kecil dulu. Saya tidak berpeluang ke tadika. Rumah jauh dari tadika. Tambahan ada rakan yang juga tidak ke tadika. Malah abang abang dan kakak kakak juga tidak mengenal tadika. Tadika kami adalah kawasan kampung..hutan dan semak...sungai..baruh..pokok...lembu..Soroksorok..polis sentri..terkadang tadika kami dinaiktaraf menjadi transformers dan robocop...heee..
Saya bersungguh mengenal huruf ketika masuk darjah satu. Buku Marilah Membaca yang mempunyai suku kata ringkas amat payah untuk dihadam. Namun saya bersyukur, mempunyai abang abang dan kakak kakak yang prihatin dan penyayang.
Sambil membuaikan adik kecil, abang sempat lagi menunjuk ajar saya, walaupun kedengaran nada "frustration'nya kerana saya mengulang perkara sama berpuluh puluh kali.
Sambil menyiapkan kerja sekolahnya, kakak masih lagi sempat membetulkan bunyi dan sebutan jawi 'alif wau' bunyinya 'u' atau 'au', 'alif ya' bunyinya 'i' atau 'ai' yang pada pengamatan saya ketika itu berputar putar dan berbunga bunga seperti ukiran pada dinding masjid.
Malah semasa kecil juga kami selalu bermain permainan menulis huruf di atas belakang. Tuan punya belakang akan meneka huruf apa yang ditulis. Bosan juga kerana selalu betul. Terkadang datang nakalnya, kami menulis huruf secara terbalik. Barulah seronok kerana tuan punya belakang terpaksa meneka dua tiga kali.
Adik beradik kami ramai. Ayah bekerja dan tidak sempat menyelidik urusan pembelajaran kami di sekolah. Tetapi waktu malam ayah akan memastikan semua anak anaknya menghadap Al-Quran. Beratur kami duduk sepanjang dinding ruang tamu membaca muka surat muka surat yang sudah 'lepas' dan berlatih membaca mukasurat yang akan dibaca di depan ayah. Ayah sangat garang pada waktu ini. Satu teguran daripada ayah akan membuatkan kami tergagap-gagap. Satu hentakan tangan ayah ke lantai boleh membuatkan duduk sila kami terburai. Jadi depan ayah jangan main main dan bacaan harus betul. Sebab itulah sepanjang menuggu giliran untuk memperdengarkan bacaan depan ayah, tiada seorang pun berani bercakap. Semua khusyuk membaca Al-Quran di rehal masing masing. Maka waktu malam riuhlah rumah kecil kami dengan suara suara anak anak Hj Wahid bertadarus.
Saya masih ingat, waktu itu saya masih lagi di Quran kecik (Muqaddam) . Abang dan kakak semua sudah naik Quran besar (Al-Quran Mushaf Uthmani). Saya sentiasa mencari akal agar tidak perlu memperdengarkan bacaan depan ayah, kerana; 1- Lambat boleh naik surah. 2-Kalau bacaan tersilap nanti kena marah. 3- Jika ayah marah dan tidak puas hati, mangsa (kui kui kui..) kena baca berulang ulang kali sehingga betul dan ayah berpuashati..
Kerana bilangan kawan kawan sekampung yang datang mengaji di rumah semakin ramai, ayah menurunkan kuasa membetulkan bacaan kepada abang dan kakak yang sudah beberapa juzuk Quran besar. Jadi peluang saya sentiasa terbuka luas. hihihihi... Sebenarnya bukan saya seorang yang begitu, semuanya begitu. Jadi semasa mandi sebelum maghrib, kami akan 'cop' dulu siapa yang akan menjadi 'Tok Guru" kami malam nanti. Jika "Tok Guru" yang dicop itu sudah dicop oleh orang lain, maka giliran ditetapkan. Ini bagi mengelakkan terjadi pergaduhan ketika waktu mengaji. Cuma malangnya jika sewaktu sedang menunggu giliran itu, tempat di depan ayah itu kosong, dan ketika itu mata ayah memandang anak anak muridnya, maka tiada apa yang boleh dilakukan..berserahlah kepada Allah... kikiki..
Tapi yang bestnya..a
Eh.. saya nak tulis pasal apa sebenarnya nih..?
Baiklah. Sebenarnya niat saya hanya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru. Bermula kepada kedua ibu bapa saya (macamlah mak dan ayah saya baca blog ni kannn...), abang abang dan kakak kakak saya, guru guru sekolah rendah saya, guru guru sekolah menengah saya, pensyarah pensyarah universiti, IPG etc. etc. guru guru kehidupan saya secara langsung dan tidak langsung..
Katakanlah 'kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat kalimat Tuhanku, subgguh habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula' -Al Kahfi:109
okbai~
SELAMAT HARU GURU!
No comments:
Post a Comment