Seseorang pernah meletak komen dalam sebuah group laman sosial berkenaan Ramadan. Menurutnya Ramadan ini analoginya sebegini;
Ramadan diibarat seorang suami yang pulang bercuti selama sebulan setelah berpergian selama setahun. Kepulangannya itu penuh dengan rahmat dan seribu satu kebaikan yang tidak terungkapkan. Kita pula diibarat para isteri yang menanti kepulangan suami tersebut. Cara penerimaan dan sambutan sang isteri kepada suami yang telah lama berpergian memang berbeza antara satu sama lain.
Ada yang menyambut dengan penuh kegembiraan. Bersyukur dengan kepulangan sang suami. Berusaha memberi yang terbaik untuk si suami sementara si suami masih bercuti. Kepulangannya dinanti. Kehadirannya dirai. Ketiadaannya dirindui.
Ada yang menyambut si suami dengan kegembiraan pada hari hari awal kepulangan sahaja. Sekian lama semakin tawar layanan dan perhatian yang diberi, kerana keberadaan sang suami yang begitu lama di rumah setelah setahun berpisah. Terasa janggal barangkali.
Ada juga sang isteri menyambut kepulangan sang suami dengan perasan endah tak endah. Sang suami dilayan dengan layanan biasa biasa sahaja.
Sehinggalah pada hari akhirnya sang suami berada di rumah barulah timbul perasaan resah dan kelam kabut kerana menyedari sang suami akan berpergian lagi. Setahun lagi. Entahkan sempat bertemu , entahkan tidak... pada masa itu mungkin timbul rasa penyesalan dan kesedihan kerana tidak memberikan yang terbaik buat sang suami yang pulang dengan seribu kebaikan itu...
Malang. Amat malang; kitalah isteri isteri itu. Menyambut kehadiran
Ramadan dengan penuh pengisian. Bertarawih dan qiam. Namun hanya pada
awal Ramadan. Hujung Ramadan kita leka dengan persiapan dan persediaan
menyambut raya. Tarawih sekadarnya sahaja, qiam entah ke mana.
Lebih malang lagi jika ada natara kita mengira ngira dan menanti hari kepergian semula Ramadan dengan rasa tidak sabar.
Akhirnya, sang suami yang penuh kebaikan dan seribu satu rahmat itu pun berlalu pergi....
#Selamat jalan wahai Ramadan. Semoga kita berjumpa lagi pada tahun akan datang. Semoga pertemuan kita pada tahun ini adalah pertemuan yang terbaik berbanding tahun tahun sudah.
Ketiadaanmu kurindui, kepulanganmu kunanti, kehadiranmu kurai... inshaAllah..
No comments:
Post a Comment