Wednesday, November 13, 2013

kisah budak kecil tidak berselipar

gambo dr fesbuk

Matahari panas membahang sewaktu dia dan rakannya berjalan keluar dari restoran Mc Donalds di sebuah bandaraya di Pantai Timur tanah air.
Kulit yang baru sahaja enak berada dalam dingin restoran makanan segera itu terasa pijar dan memerit terkena panahan mentari yang bersinar garang.

"Let's make ourselves available for another meeting", dia mencadangkan kepada kawannya sebelum berpamitan menuju ke kereta masing-masing.
Langkah lajunya terhenti oleh tarikan kecil di hujung baju kurung yang dipakainya. Pantas dia menoleh.
Kelihatan seorang ibu yang comot sedang mengelek bayi memandangnya dengan pandangan penuh harapan. Dan mohon simpati.
Di sisi kiri ibu tersebut kelihatan seorang anak lelaki kecil yang comot. Berbaju melebihi saiz badannya yang kecil. melusuh dan berbau. Langsung tidak beralas kaki..

 "Adikk, anaok saya teghinging sanngak nok minum dalang tuh.." lirih suara si ibu. Dia tergamam.
Loghat Terengganu yang cuba diusahakan oleh si ibu ternyata tidak menjadi.

Panas mentari dan panas hati!
Dia berlalu meninggalkan tiga beranak itu tercegat kehampaan.
Pintu kereta dibuka dan terus dikunci dari dalam. Penyaman udara dibuka ketahap maksima.
Sekilas dia menoleh semula ke tempat 'pertemuan' tadi. Tiada.
Ketika sebuah kereta lain keluar dari tempat parkir, kelihatan tiga beranak itu duduk di atas pembahagi parkir.

Budak kecil tidak berselipar sedang mendongak memandang ibunya yang sedang melindungi muka si kecil dalam dukungannya dengan kain batik. Si ibu menggeleng gelengkan kepala. Mungkin menjawab persoalan yang diajukan oleh budak kecil tidak berselipar itu.

Antara perikemanusiaan dan berjaga jaga,
Dia akhirnya menurunkan cermin kereta dan melaung
"Dik!" sambil membuat isyarat tangan supaya mendekat.
Pantas budak kecil tidak berselipar itu berlari ke keretanya.
Dua keping not merah bertukar tangan.
Dengan sengihan yang lebar, melompat lompat budak kecil tidak berselipar itu berlari mendapatkan ibunya.
Dia tersenyum melihat ulah sibudak kecil tidak berselipar  itu.
Ketika gear reverse dimasukkan, dia tersentak kerana cermin tingkap diketuk.
Wajah si ibu yang berlinang air mata menguasai pandangannya. 
"Terima kasih dik.. terima kasih dik..teri..", sebak. Dia pantas menaikkan cermin kereta. 

Ketika keretanya melintasi pintu depan restoran itu, dia melihat tiga beranak itu sudah tercegat di hadapan kaunter membuat pesanan...

Moga keinginan anak kecil tidak berselipar itu untuk minum di dalam restoren tercapai...:)
 
 
 

No comments:

Post a Comment