Kawan,
sederhana itu subjektif
seperti sedapnya makanan
atau cantiknya kejadian
atau uniknya perasaan
mungkin pada rasa ku itu manis
namun tawar pada lidahmu
mungkin terpesona pada mataku
namun hambar pada deria lihat mu
dan mungkin juga
tersentuh dan teruja perasaanku!
namun tidak begitu pada kamu...
sederhana itu pun relatif
beza pada kedudukan raja dan marhaen
hmm.. aku teringat
kisah sang primadona
menguarkan perkahwinannya
bakalan sederhana sahaja
bila tiba harinya
nah!
bagai majlis keraian di raja
gemerlapan dan berlimpahan kemewahan
begitu
maksud sederhana baginya..
Dia tidak bersalah
cuma kita yang tersilap
menafsir sederhana dari kaca mata
lingkaran dunia kita
sedang pada dunianya
itulah makna sederhana
Justeru kawan,
hiduplah sebagaimana perancanganmu
sebagai muslim yang terpuji
dan sederhana itu akan hadir
mengikut irodat Tuhanmu
yang pasti
aku dan kamu
tidak akan mampu
mencari kayu ukur di dunia untuk
menimbang sederhana
kerana rasa syukur itulah penyukatnya
semoga sinar bahagia hadir bersama sederhana...
No comments:
Post a Comment