Menurut Kamus Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd, perpaduan atau solidarity dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Di samping itu juga, definisi perpaduan menurut Kamus Dewan 1994 mentakrifkan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Manakala Kamus Dewan Edisi ke empat pula mendefinisikan integrasi sebagai bermaksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum, unsur, bahagian dan lain-lain atau menjadi satu kesatuan penyatuan.
Dalam sesebuah negara yang majmuk seperti Malaysia, perpaduan adalah suatu perkara yang penting. Tanpa perpaduan, mana mungkin Negara akan sentiasa aman dan stabil dan berintegrasi. Malah perpaduan menjadi teras dalam pembentukan sesebuah Negara yang berjaya.
Oleh sebab itu, semangat perpaduan ini perlu ada dalam hati dan diri semua insan yang bergelar rakyat Malaysia. Walaubagaimanapun, rasa perpaduan ini tidak terus muncul dengan tiba-tiba sahaja. Rasa ini perlu disemai dan dibaja sedari kecil lagi.
Tempat yang paling utama bermulanya proses perpaduan adalah di sekolah. Ini kerana di sekolahlah generasi muda dari pelbagai etnik , ras dan agama akan berkumpul, menghabiskan hampir sebahagian daripada hari mereka sebelum kembali ke rumah. Lantaran itu, sekolah adalah tempat terbaik untuk menyemai benih-benih perpaduan yang baik ke dalam diri pelajar yang rata-ratanya masih suci fikiran mereka daripada perasaan negatif dan sentimen perkauman. Maka di sinilah bermulanya peranan yang harus dimainkan oleh kakitangan dan petugas di sekolah, terutamanya para guru dalam memberikan perkara terbaik kepada anak didik mereka melalui proses pendidikan agar anak didik tersebut mampu menjadi insan kamil yang berjiwa Malaysia.
Tidak dinafikan, selain daripada ibu bapa dan rakan-rakan, guru adalah antara individu yang paling rapat dengan pelajarnya. Malah ada antara pelajar tersebut menjadikan guru mereka sebagai idola atau ikutan. Oleh itu, peluang ini haruslah diambil oleh pihak guru untuk menyebarkan risalah perpaduan melalui pendidikan.
Kita pasti tertanya-tanya apa pentingnya pendidikan dalam menerapkan unsur perpaduan dan integrasi dalam diri pelapis bangsa? Sejarah membuktikan bahawa sistem pendidikan mampu memberi impak yang besar dalam proses penyatuan rakyat. Sejarah telah membuktikan melalui pendidikan sesuatu bangsa itu boleh jatuh, berpecah belah atau pun maju ke hadapan.
Buktinya, lihat sahaja bagaimana sistem pendidikan berasaskan pecah dan perintah yang membiarkan sekolah berkembang mengikut haluan masing-masing yang di amalkan oleh pihak penjajah ke atas negara kita telah mewujudkan empat sistem persekolahan yang berbeza di negara kita pada masa itu. Hal ini menyebabkan jurang ekonomi dan sosial yang semakin ketara dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Kaum Melayu dengan sekolah pondok yang bersifat tradisional memperlihatkan mutu pendidikan yang amat terbatas dan sekolah-sekolah Melayu ini didirikan atas daya usaha orang perseorangan. Manakala kaum Cina dengan sekolah Cina yang diusahakan oleh sukarelawan Cina, sedangkan sekolah Tamil pula diuruskan oleh kaum India, Sekolah Inggeris pula diambil alih oleh mubaligh-mubaligh Kristian.
Justeru itu, atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada. Cadangan itu dikenali sebagai Penyata Razak 1956. Laporan Penyata Razak 1956 mengemukakan dua cadangan utama yang menjadi teras pembangunan pendidikan negara kita. Pertama, laporan ini mencadangkan setiap kanak-kanak diberi peluang mendapat pelajaran apabila mencapai umur persekolahan. Kedua, mengesyorkan perwujudan satu sistem pendidikan bagi semua kanak-kanak agar dapat melahirkan rakyat yang bersatu padu dan berdisiplin.
No comments:
Post a Comment